|
Zire 71 Photo of the day!
|
2004-08-20 - 2:18 p.m. Seri Tertangguh: Prolog
Seri Satu Sama Saliza Malik, ibu kepada Seri berusia dua puluh satu tahun apabila beliau mula-mula menjejakkan kakinya ke Kuala Lumpur. Saliza telah berhijrah ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1982 dengan harapan untuk menjadi seorang penyanyi, atau sekurang-kurangnya pelakon drama TV. Itu sahajalah yang Saliza tahu dan mahukan di dalam hidupnya. Artis-artis top seperti Uji Rashid, Gaya Zakri dan Noor Kumalasari menjadi idolanya. Di dalam hatinya, Saliza yakin bahawa wajahnya pada satu hari nanti akan menghias kulit Majalah Filem, Variapop dan URTV. Dia mahu Syarifah Aini memanggilnya dengan nama Liza dan Latif Ibrahim dan Hail Amir yang kacak itu pula memanggilnya dengan panggilan “Yang”… Saliza sesungguhnya mahu menjadi seorang penyanyi terkenal. Bukan itu sahaja, kalau boleh dia mahu menjadi lebih terkenal dari mereka yang diangung-agungkannya selama ini! Semua cita-citanya ini tercapai ketika dia dibawa ke Kuala Lumpur oleh seorang penerbit yang telah menemuinya menyanyi di sebuah kelab malam di bandar Muar. Berkat bakat menyanyi yang Saliza ada ditambah dengan rupa dan susuk badan yang menarik, Album yang dikeluarkan oleh Saliza mendapat sambutan yang hangat di pasaran. Dalam sekelip mata sahaja, Saliza menjadi terkenal. Seperti yang diidamkan selama ini, wajahnya menghias majalah Filem, Variapop dan URTV. Ketika dia menemui Syarifah Aini di dalam rakaman Hiburan Minggu ini di RTM, sememangnya Syarifah Aini telah memanggilnya dengan panggilan nama Liza dan Hail Amir pula, walaupun tidak memanggilnya dengan nama “Yang”, sempat bermain kenyit-kenyit mata dengannya di belakang pentas... Saliza hanya sempat membuat sebuah album sepanjang kariernya sebagai seorang penyanyi. Kecantikan dan bakatnya sebagai seorang penyanyi telah berjaya menarik perhatian seorang ahli perniagaan yang dikatakan telah lama hidup membujang. Perkara ini telah berlaku pada tahun lewat tahun 1982 ketika Saliza mula-mula mahu berjinak-jinak dalam dunia hiburan. Saliza telah mula-mula menemui Hisham ketika Saliza membuat persembahan pada hari setiausaha di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Setahun kemudian mereka telah berkahwin di atas sebab suka sama suka. Tujuh bulan kemudian, anak sulung mereka dilahirkannya... Orang tua Hisham gembira kerana Saliza telah berjaya mendapatkan mereka seorang cucu lelaki yang comel. Anak sulung mereka itu kemudian di namakan Darwis oleh Hisham sendiri. Hisham menyukai nama tersebut kerana dia pernah melihat tarian para darwis ketika mengadakan lawatan perniagaan di Turki beberapa bulan sebelum anak sulungnya dilahirnya. Pada waktu itu, Saliza baru sahaja berusia dua puluh empat tahun, manakala Hisham pula berusia empat puluh tahun. Pada tahun yang sama, Hisham telah dilantik untuk menjadi ahli penting dalam pergerakan UMNO di sebuah perumahannya di Petaling Jaya. Kelahiran Darwis dianggap Hisham telah membawa berkat ke dalam hidupnya. Jadi Hisham sangat-sangat sayang kepada Darwis. Ketika Darwis berusia tiga tahun, Darwis telah mendapat seorang adik perempuan. Adiknya itu telah dinamakan Seri oleh bapanya. Hisham telah menamakan anak perempuannya itu Seri kerana beberapa hari sebelum Saliza mendapat tahu bahawa dia sedang mengandung, suaminya itu telah berkahwin satu lagi di selatan Thailand. Beberapa hari sebelum Seri dilahirkan, isteri muda Hisham yang bernama Ramlah itu telah melahirkan seorang anak perempuan juga. Jadi dalam kepala Hisham, (yang juga peminat setia pasukan bolasepak Liverpool), Saliza ‘seri satu sama’ dengan madunya, (madu Saliza berusia jauh lebih muda dari dirinya dan perkara ini sememangnya telah merunsingkan jiwa Saliza. Sejak awal lagi dia telah menganggap dirinya 'kalah' kepada madunya yang masih berusia dua puluh tahun itu). Jadi Seri telah dilahirkan ke dalam dunia ini dengan bapanya mempunyai seorang isteri muda dan ibunya pula mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan – itu pun setelah diberikan modal oleh Hisham untuk memulakan perniagaannya sendiri sebagai balasan dia sanggup menerima madunya itu dengan rela hati ke dalam hidupnya. Saliza sayangkan kepada Seri bagaikan menatang minyak yang penuh. Pertama, kerana dia mahu Seri menjadi mengikut jejaknya sebagai seorang penyanyi terkenal ketika dia dewasa kelak dan kedua, disebabkan suaminya kini terpaksa berlaku adil kepada dirinya dan kepada madunya (maka masa untuk mereka bersama semakin berkurangan), Saliza mahu menumpukan segala masa dan tenaganya kepada Darwis dan terutamanya kepada Seri dan kepada perniagaan jamunya. Perniagaan jamu Saliza maju berkat kegigihan dirinya yang sentiasa bekerja keras. Lagipun, Saliza berasal dari Batu Pahat, Johor. Keluarganya di sebelah Johor sana memang sudah beberapa keturunan menjadi peniaga Jamu. Tanpa disedari Saliza sendiri, bakatnya dalam bidang perniagaan memang cukup terserlah. Saliza telah menamakan perniagaannya Layla Los Angeles. Nama Layla diambilnya dari cerita romantik Arab, Laila Majnun (juga tajuk lagu pertama “B-side” albumnya) dan nama kota Los Angeles pula ditambah sekadar menampakkan lagi keunggulan syarikatnya yang kononnya berjiwa antarabangsa (dan kebetulan pula pejabat pengurusan perniagaannya itu terletak di Lebuh Ampang). Sehingga kini, syarikatnya cukup berjaya sehingga mampu bersaing dengan beberapa syarikat kecantikan jenama tempatan yang lain. Keuntungan syarikatnya yang berlipat ganda langsung dapat menandingi keuntungan syarikat pembinaan suaminya yang kini semakin mundur disebabkan oleh keadaan ekonomi yang kurang menentu. Apa tidaknya, walaupun dalam keadaan kemunduran ekonomi, wanita tetap mahu nampak cantik... Pada tahun 1996, Saliza telah ditabalkan dengan anugerah Tokoh Usahawan Wanita Wilayah Persekutuan dan pada tahun yang sama, Hisham telah dianugerahkan dengan pangkat Datuk dan telah mengambil keputusan untuk berkahwin lagi. Kali ini, Saliza terus membenarkan Hisham berkahwin lagi tanpa banyak soal, walaupun si Ramlah isteri keduanya hampir-hampir mahu meminta cerai… Seperti judul lagunya yang terkenal, “Rahsia Wanita”, Saliza juga ada menyimpan rahsia kehidupannya sebelum dia menjadi terkenal. Kehidupannya sebelum dia berhijrah ke Kuala Lumpur tidak banyak diketahui oleh suaminya, anak-anaknya dan orang ramai. Dia sendiri tidak mahu memikirkannya. Fikirnya, segala apa yang telah berlaku kepadanya ketika dia muda adalah satu kesilapan besar yang tidak mahu diingatinya. Dan kini. Saliza bukan lagi seorang penyanyi kelab malam yang pernah menyanyi di dalam sebuah kelab yang kurang pengunjungnya. Saliza bukan lagi seorang penyanyi yang pernah terkenal dengan beberapa buah lagu hits yang diingati sehingga ke hari ini, atau seorang ratu majalah hiburan, mahupun isteri kepada seorang ahli korporat yang berjaya yang juga aktif di dalam arena politik sehingga mendapat gelaran Datuk. Saliza kini bukan lagi Saliza anak penjual jamu dari Batu Pahat tetapi seorang wanita bergelar Datin dengan perniagaannya sendiri yang berjaya. Saliza kini seorang wanita yang berjaya. Jadi mengapa hatinya sentiasa terasa kosong dan sedih? ** Bagaimana seorang artis yang kini bergelar seorang usahawan wanita membesarkan dua orang anaknya? (Petikan dari majalah Wanita Hari Ini, Januari 2003). Sebagaimana yang kita ketahui, Datin Saliza Malik mempunyai dua orang cahaya mata. Darwis, 20 tahun dan Seri, 17 tahun. Darwis kini sedang menuntut di dalam bidang kejuruteraan komputer di Universiti Bristol. Seri pula akan mengambil peperiksaan SPMnya pada tahun ini. Bagaimana agaknya seorang wanita yang sibuk berkerjaya seperti Datin Saliza berjaya mendidik anak-anaknya sehingga ke hari ini? Menurut Datin Saliza, dia merasa agak beruntung kerana mempunyai seorang suami yang sentiasa menyokong segala usahanya di dalam perniagaan mahupun di dalam hal penjagaan anak-anak mereka. “Anak-anak saya senang dijaga. Mereka tidak nakal. Darwis sebagai contoh adalah seorang yang pendiam. Dia tidak banyak bercakap. Dia lebih suka membaca dari menghabiskan masanya keluar berjalan-jalan tidak tentu pasal seperti remaja yang seusia dengannya. Anak saya Seri pula banyak menghabiskan masanya di hadapan komputer.” Jelas Datin Saliza dengan bersungguh-sungguh. Masih ingat filem Anakku Sazali lakonan dan arahan seniman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee? Dalam filem itu kita dapat melihat akibat buruk memanjakan anak. Datin Saliza menegaskan bahawa dia tidak percaya kepada teknik penjagaan yang terlalu memanjakan anak. Baginya, anak-anak boleh disayangi tetapi tidak boleh sampai ke tahap keterlaluan sehingga anak tidak pandai berdikari sendiri. “Sejak kecil lagi saya telah mengajar Darwis dan Seri agar membasuh kasutnya sendiri, walaupun kami mempunyai pembantu rumah. Saya mahu mereka sedar tentang susah senang realiti kehidupan. Saya sendiri berasal dari keluarga yang susah.” Jelas Datin Saliza dengan ikhlas. Sebagai seorang usahawan, beliau sedar bahawa masanya untuk bersama anak-anaknya agak terhad. Suaminya, ADUN Taman Jaya, YB Datuk Hisham bin Ibrahim juga begitu. Beliau sentiasa sahaja sibuk dengan kerjanya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pembinaan yang terkemuka di ibukota dan juga seorang ahli politik yang berjaya. Tetapi mereka berdua nampaknya masih mampu membahagikan masa untuk membesarkan kedua-dua orang anak mereka sehingga ke hari ini. “Saya sering memastikan agar saya dan suami saya akan mengambil sedikit masa kami di hari minggu untuk dihabiskan bersama anak-anak kami. Saya rasa anak-anak kami cukup matang untuk menerima hakikat bahawa kami berdua sibuk dengan kerjaya kami.” Beritahu Datin Saliza dengan bangga apabila beliau disoal mengenai anak-anaknya. Apabila ditanya mengenai gejala kurang sihat di kalangan anak-anak muda pada masa ini, Datin Saliza memberi pendapat bahawa ibu bapa seharusnya dipertanggungjawabkan kepada segala apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa sepatutnya menjadi contoh kepada anak. Jadi, perlakuan ibu bapa harus dijaga setiap masa, terutamanya apabila mereka berhadapan dengan anak-anak mereka. “Anak-anak kita sebenarnya sering memerhatikan gerak-geri ibu bapa mereka. Jika kita berkelakuan tidak betul, kemungkinan besar anak-anak kita akan terikut sama.” Jelas Datin Saliza. Datin Saliza sangat-sangat mementingkan penekanan agama kepada anak-anaknya. Menurutnya, manusia ini bagaikan sebuah istana pasir. Asasnya perlu kukuh. Tanpa asas agama yang kukuh, seperti sebuah istana pasir, bagaimana gah pun ia dibina, ia pasti cepat roboh walaupun belum sempat ia dipukul ombak... Seperti mana yang kita semua maklum, Datin Saliza pernah terkenal pada awal 80-an dahulu dengan lagu-lagunya yang bersifat “evergreen”. Apabila di tanya jika beliau masih berminat untuk menyanyi lagi, Datin Saliza mengatakan bahawa minat itu masih ada, tetapi dia mahu lebih menumpukan perhatian kepada perniagaannya serta kepada anak-anaknya. “Tetapi saya tidak kisah jika anak saya Seri mahu menjadi penyanyi. Malah saya akan akan memberi sokongan padu kepadanya sehingga dia berjaya jika itulah kerjaya yang dipilihnya... Anak saya yang satu lagi, Darwis tidak begitu begitu berminat dalam bidang seni. Aku sulung saya itu mahu menjadi seorang pakar IT.” Oleh Nizam Zakaria
|